• Main
  • News

انا لله وانا اليه راجعون

انا لله وانا اليه راجعون

انا لله وانا اليه راجعون

اَللّٰهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهَ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَس وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجٙا خَيْرًا مِنْ زَوْجٙهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ.

Dengan penuh rasa dukacita dan hiba, dimaklumkan bahawa Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Rashid Redza bin Haji Md. Saleh telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 24 Mac 2026, di kediamannya di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, kira-kira jam 4 pagi. Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Zoriah Mohamad, 68, serta lima orang anak. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam khususnya di negeri Melaka, yang pernah menerima jasa dan khidmat beliau sebagai seorang tokoh ilmuwan dan pentadbir agama yang disegani.

Allahyarham dilahirkan pada 22 September 1950 di Kampung Chinchin, Jasin, Melaka. Beliau merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik. Bapanya, Haji Md. Saleh bin Haji Taib, berasal dari Kampung Air Molek, Melaka, manakala ibunya, Hajah Fatimah binti Majot, berasal dari Kampung Chinchin, Jasin.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Terentang, Jasin sehingga darjah lima, beliau kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Kebangsaan Chinchin sehingga darjah enam. Minat mendalam terhadap ilmu agama mendorong beliau menyambung pengajian di Madrasah Al-Lughah Al-Arabiah, Tangkak dari tahun 1964 hingga 1967. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Arab Maahad Johor sehingga tahun 1971, sebelum meneruskan pengajian di Akademi Yayasan Anda, Kampung Baru, Kuala Lumpur sehingga tahun 1974.

Dengan kegigihan dan keazaman yang tinggi, Allahyarham seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Perundangan Islam. Beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) pada tahun 1979. Tidak terhenti di situ, beliau menyambung pengajian di Kuliah Tarbiah Al-Azhar dan berjaya memperoleh Diploma Pendidikan.

Sekembalinya ke tanah air, beliau memulakan khidmat dalam bidang pentadbiran agama pada 16 Februari 1982 di Jabatan Agama Islam Melaka (Bahagian Penerangan Agama) sehingga tahun 1987. Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Kadi Melaka Tengah dan seterusnya bertukar ke Pejabat Agama Daerah Alor Gajah pada 1 Julai 1995.

Dalam kehidupan peribadi, Allahyarham telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Wira Zoriyah binti Haji Mohd. pada tahun 1984, dan dikurniakan lima orang cahaya mata. Pada 9 Julai 1990, beliau turut mengikuti Diploma Lanjutan Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama setahun.

Allahyarham juga telah menunaikan fardu haji pada 18 Mei 1993. Karier beliau mencapai kemuncaknya apabila diberi amanah memikul tugas sebagai Mufti bermula 1 April 1996 dan seterusnya dilantik secara rasmi sebagai Mufti pada 6 Disember 1996. Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau, Allahyarham telah dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena Hari Keputeraan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada tahun 1997.

Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat ummah. Semoga segala jasa, pengorbanan dan ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan, serta ditempatkan dalam kalangan para solihin.

Jasa Almarhum dalam membangunkan dunia Falak di Malaysia dan khususnya di Negeri Melaka amat besar. Penubuhan pusat falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara adalah antaranya.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir tadi ialah TYT Tun Sri Setia Mohd Ali Rostam YDP Negeri Melaka. Istana Melaka

Sama-sama kita menadah tangan mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat, diampunkan segala kekhilafannya, dan ditempatkan dalam kalangan para solihin serta dianugerahkan syurga firdaus.

@topfans Masjid Ayer Molek Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Majlis Agama Islam Selangor Zamzam Mohamed Mohd Ali Momin Hairul Amin Jabatan Mufti Negeri Melaka Rahmad Mariman Melaka Hari Ini Jamaluddin Yeop Majlis