• Main
  • News

Nota Tazkirah Dari Kuliah Maghrib.

Nota Tazkirah Dari Kuliah Maghrib.

Nota Tazkirah dari Kuliah Maghrib.
Hari Selasa 10 Feb 2026
Malam 23 Syaaban 1447
Oleh Us Dr Mohd Nizam Mokhtar.
Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (Ibadah dalam Fiqh Al-Syafi'i)

Perkara yang Membatalkan Wudhu’ (Mazhab Al-Syafi‘i):

Wudhu’ adalah kunci kepada sahnya solat.

Rasulullah SAW bersabda:
"Allah tidak menerima solat seseorang tanpa bersuci." (HR Muslim)

Oleh itu, kita mesti mengetahui perkara yang boleh membatalkan wudhu’ supaya ibadah kita tidak sia-sia.

Pertama:
Keluar sesuatu dari qubul atau dubur seperti air kencing, tahi, angin, mazi dan seumpamanya. Walaupun sedikit, tetap membatalkan wudhu’.

Kedua:
Tidur yang tidak tetap kedudukannya. Jika seseorang tidur dalam keadaan punggungnya tidak rapat ke tempat duduk, maka batal wudhu’. Namun jika tidur sambil duduk dengan posisi kukuh, wudhu’ masih terpelihara.

Ketiga:
Hilang akal seperti pengsan, mabuk atau gila. Ini kerana ketika itu seseorang tidak sedar apa yang berlaku pada dirinya.

Keempat:
Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa lapik. Dalam mazhab Syafi‘i, sama ada dengan syahwat atau tidak, wudhu’ tetap batal.

Kelima:
Menyentuh kemaluan dengan tapak tangan atau perut jari, sama ada kemaluan sendiri atau orang lain.

Ilmu ini nampak mudah, tetapi sangat ramai yang terlepas pandang. Jangan biarkan solat kita menjadi tidak sah hanya kerana kita lalai dalam menjaga wudhu’.

Marilah kita sentiasa memperbaharui wudhu’, kerana Rasulullah SAW sangat menyukai umatnya berada dalam keadaan suci. Orang yang menjaga wudhu’ juga dijanjikan cahaya pada hari kiamat.

Kesimpulannya:
Jagalah wudhu’, kerana ia bukan sekadar syarat solat, tetapi tanda kebersihan iman dan ketaatan kita kepada Allah.

Wallahu a‘lam.

#kuliah
#maghrib
#masjid
#ayermolek
#melaka