*Nota tazkirah Kuliah Subuh pagi ni.*
*Qiyamun Nahar di Bulan Ramadhan.*
Qiyam bukan hanya pada waktu malam dengan solat Tarawih, bahkan siang hari Ramadhan juga perlu dihidupkan dengan ketaatan kepada Allah SWT.
Qiyamun Nahar bermaksud menghidupkan waktu siang Ramadhan dengan amal soleh, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menjaga seluruh anggota badan daripada maksiat.
Antara amalan Qiyamun Nahar ialah menjaga adab puasa; menjaga lidah daripada mengumpat dan berkata sia-sia, menjaga pandangan dan pendengaran daripada perkara haram.
Selain itu, perbanyakkan membaca al-Quran, kerana Ramadhan adalah bulan al-Quran. Walaupun sedikit, lakukan secara istiqamah.
Hiasi siang Ramadhan dengan zikir, istighfar dan selawat, kerana doa orang berpuasa adalah mustajab.
Jangan lupa solat-solat sunat seperti Dhuha dan rawatib, serta bersedekah dan berbuat baik kepada orang lain.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Berapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.”
Maka marilah kita hidupkan siang Ramadhan dengan ketaatan, agar puasa kita bukan sekadar menahan lapar, tetapi mendatangkan keampunan dan rahmat Allah SWT.
*Kisah Nabi ﷺ Ziarah Rumah Sa‘ad bin ‘Ubadah di Bulan Ramadhan.*
Pada suatu hari di bulan Ramadhan, Rasulullah ﷺ menziarahi rumah seorang sahabat Ansar yang mulia, iaitu Sa‘ad bin ‘Ubadah RA. Ketika itu, Nabi ﷺ dalam keadaan berpuasa.
Sa‘ad bin ‘Ubadah RA terkenal sebagai seorang sahabat yang sangat pemurah. Apabila melihat Rasulullah ﷺ datang ke rumahnya, beliau segera menyediakan makanan untuk berbuka puasa.
Setelah Rasulullah ﷺ berbuka di rumahnya, Baginda ﷺ pun mendoakan Sa‘ad bin ‘Ubadah dengan doa yang masyhur:
أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ،
وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ،
وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ
Maksudnya:
“Telah berbuka di sisi kamu orang-orang yang berpuasa, makanan kamu dimakan oleh orang-orang yang soleh, dan para malaikat mendoakan kamu.”
Doa ini menunjukkan betapa besar kelebihan memberi makan orang berpuasa, sehingga didoakan oleh Rasulullah ﷺ sendiri dan para malaikat.
*Antara pengajaran penting daripada kisah ini:*
1. Sunat memberi makan berbuka, walaupun sekadar kurma atau air.
2. Orang yang memberi makan berbuka akan mendapat pahala besar dan doa Nabi ﷺ.
3. Amalan memberi makan mengeratkan ukhuwah dan kasih sayang sesama Muslim.
Marilah kita mencontohi Sa‘ad bin ‘Ubadah RA,
menghidupkan Ramadhan dengan sifat pemurah dan suka berkongsi rezeki.
Semoga Allah SWT menjadikan kita golongan yang mendapat doa Rasulullah ﷺ. Aamiin.
#kuliahsubuh
#masjid
#ayermolek
#melaka